Sabtu, 18 April 2020

Ulasan Buku: Membaca Cerita Hantu

Assalamualaikum. 

Hari ini tiada idea untuk menulis. Jadi, saya kongsikan ulasan buku ini yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia dengan tajuk Kisah Hantu yang Bukan Hantu. Ulasan buku yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia telah pun disunting oleh editor yang barangkali ruangnya yang terhad yang menyebabkan hanya sebahagian sahaja dapat disiarkan. Ini merupakan ulasan buku penuh saya. 

Ulasan buku ini merupakan ulasan buku pertama yang pernah saya tulis sewaktu saya berjinak-jinak membuat ulasan buku. Saya tidak akan mengulas sesebuah buku itu jika buku itu tidak ada sesuatu. Jadi, saya berasakan penulis ini sangat hebat dengan hasil karyanya ini. Tidak rugi membeli dan membacanya, sebaliknya amat rugi jika kalian tidak membeli apatah lagi tidak membacanya. 


Kump. Cerpen Gunting
Judul: Gunting
Pengarang: MARSLI N.O
Penerbit: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
Harga: RM 20.00
Tahun : 2012
Tebal: 109


Membaca Cerita Hantu

Hantu sememangnya menjadi suatu makhluk atau entiti yang sering digeruni mahupun ditakuti oleh masyarakat Melayu. Entiti ini dikatakan tidak wujud dalam bentuk susuk tubuh yang mampu dilihat oleh mata kasar. Sifatnya yang sering digembar-gemburkan mempamerkan wajah yang hodoh, bergigi taring dan tidak terurus itu menguatkan lagi bahawa makhluk hantu ini tidak disukai oleh masyarakat apatah lagi untuk dijadikan sebagai teman. 
Sebaliknya, individu bernama Marsli N.O atau nama sebenarnya Ramli Selamat seorang penulis yang didakwa bersuara lantang ini menjadikan hantu sebagai subjek cerita dalam kumpulan cerpen terbaharunya, Gunting. Sebelum ini Marsli N.O pernah muncul dengan kumpulan cerpennya seperti Biduan (DBP, 1994), Penipu (1997), Politikus, Badut & Sebuah Cermin (1997), Demi (DBP, 1998), Menanti Buraq (DBP, 2008) dan Masihkah Aku Bermimpi (2012). Selain kumpulan cerpen, Marsli N.O juga pernah muncul dengan kumpulan puisi dan novel.
Benarkah hantu yang didakwa dalam sejumlah cerpen dalam kumpulan ini benar-benar hantu? suatu makhluk yang ditakuti itu atau penulis memberi sifat hantu itu kepada manusia atau merujuki sifat manusia itu sama seperti sifat yang dimiliki hantu? Persoalan-persoalan ini menarik untuk diperhatikan kerana setiap penulis mempunyai langgam penceritaannya yang berbeza. Adakalanya, “Aku” dalam kumpulan cerpen ini dilihat bukanlah mewakili suara penulisnya, sebaliknya, dialog hantu itulah barangkali.
Kumpulan cerpen ini memuatkan 12 buah cerpen yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012. Cerpen yang termuat dalam kumpulan ini seperti Bintang, Tamparlah Mukaku, Menternak Hantu, Peminat Hantu, Penggembala Hantu, Mencari Merdeka, Gunting, Mimpi Warga Pulau, Hantu atau Penyair, Peah dan Kisah-kisah Lain, Kisah-kisah di Negeri Angin, Keranamu, Sinta dan Syawal nan Lucu. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam lingkungan tahun 2000 hingga 2011. Hanya cerpen Mimpi Warga Pulau ditulis pada tahun1989 dan Keranamu, Sinta, 1990 seperti yang dicatat di akhir cerpen tersebut.   
Perhatikan daripada sejumlah cerpen yang termuat dalam kumpulan ini mengambil subjek hantu sebagai judulnya. Betapa penulis menjelmakan hantu itu sebagai makhluk yang memegang watak untuk menggerakkan cerita, sebagai makhluk yang diajak berdialog mahupun makhluk yang dipercakapkan akan tentangnya.
Cerpen Menternak Hantu memberi gambaran akan keterbalikkan sifat manusia yang normal. Selalunya, manusia hanya menternak, itik, kambing, ayam, mahupun lembu. Sebaliknya, dalam cerpen Menternak Hantu penulis memberitahu bahawa sekarang ini orang boleh sahaja menternak apa-apa yang disukai. Menerusi cerpen ini, pembaca dibawa untuk melawat “Ladang Menternak Hantu” yang diusahakan oleh rakannya. Benarkah yang diternak itu hantu? Rakan penulis memberitahu bahawa hantu yang diternak itu untuk tujuan dijual atau disewakan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan khidmat hantu-hantu itu. Hantu-hantu itu pula akan mengabdikan diri kepada tuan baharunya iaitu kebanyakannya orang yang membelinya adalah terdiri daripada orang kaya dan ahli politik serta persatuan penulis.
Jika orang kaya membeli hantu itu untuk menjaga keselamatan keluarga serta harta benda mereka, sebaliknya persatuan penulis membeli hantu untuk mengganggu atau pergi mengerkah musuh sesama penulisnya. Sementara ahli politik membeli hantu untuk menjaga kedudukan mereka supaya tidak ada yang berani mengganggu kedudukan mereka serta menakutkan musuh-musuh mereka.
Seperti yang didakwa, hantu-hantu ini tidak memakan darah, najis lembu tetapi hantu-hantu ini suka akan kertas surat khabar dan majalah. Oleh itu, tuannya akan membeli surat khabar tidak kira surat khabar dalam bahasa Cina, Tamil, Siam ataupun orang putih untuk diberi hantu ternakannya itu makan. Jadi, jangan hairan. Memetik kata-kata penulis, “Dalam keadaan dunia seperti sekarang ini, mana ada yang peliknya? Bukan setakat hantu, kuman dan virus pun orang boleh ternak. Kau ini memang tak ikut perkembangan dunia langsung. Benda macam ini pun kauboleh rasa pelik. Heh, kawan! Untuk pengetahuan kau. Lagi banyak benda pelik dalam dunia pun ada. Apa hendak dihairankan?”
Ada sesiapa pembaca yang berhasrat untuk menjadikan hantu sebagai teman? Tidak pun sekadar menjadi peminat hantu? Dalam cerpen Peminat Hantu, penulis menceritakan penulis sering ke acara seperti acara sastera secara bersendirian. Dalam acara sebeginilah pelbagai kalangan manusia dan gelagat yang dapat diperhatikan. Sekiranya bertuah, akan bertemulah dengan rakan lama mahupun baharu. Perhatikan dialog sapaan ini.
“Apa khabar? Kamu kelihatan semakin gemuk.
“Apa khabar? Wah, kamu sudah berminat bercerita mengenai hantu ya?”
“Apa khabar? Sajakmu mengenai bayang lagi.
Walau sesiapapun anda kata peminat hantu, “Seorang sasterawan itu mesti berpendirian teguh. Tetapi, kalau sekali ke timur dan sekali ke barat, samalah sikapnya itu seperti hantu. Kerana kakinya tidak menjejaki bumi. Apa gunanya menjadi sasterawan, kononnya manusia yang penuh dengan idealisme dan kejujuran? Kalau pendiriannya dalam sekelip mata boleh berubah, semata-mata kerana mahu mendapatkan sesuatu daripada pihak lain? Atau, berubah menyokong faham atau aliran lain kerana mahu mencari populariti?”
Apa bezanya penternak, peminat dengan penggembala hantu? Saya kira cerpen Penggembala Hantu merupakan sekual kepada cerpen Menternak Hantu. Menjadi penternak hantu pendapatannya lebih lumayan berbanding penggembala hantu. Penggembala boleh saja tidak menjadi tuan kepada subjek belaannya itu sebaliknya mengambil upah untuk menjaganya. Benarkah hantu itu suatu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk menafkahi hidup? Ternyata penternak hantu telah menyatakan terang-terangan bahawa, “Sebenarnya kuakui silapku. Hantu bukanlah boleh dibuat sahabat atau apa pun. Begitu berada berhampiran kita, lama kelamaan kita pun cuba hendak dikerkahnya serta mahu diajaknya sama menjadi hantu. Kerana itu jugalah perniagaanku lingkup. Kaubayangkanlah. Kalau sampai pada satu tahap hantu-hantu itu berani menyamar menjadi diriku dan meniru apa sahaja perbuatanku, tidaklah itu sesuatu yang amat keterlaluan?”
Hantu boleh saja menyerupa sesiapa sahaja hingga wajah yang diserupai itu tidak mengetahuinya melainkan orang yang terlihatkan wajah itu memberitahunya. Itulah sifat hantu yang sukar dimaafkan. Cerpen Hantu atau Penyair, telah mendedahkan bahawa hantu-hantu itu boleh menyerupai sesiapa sahaja termasuklah menyerupai penyair. Hantu yang sering disebut hantu ini dikatakan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan jasadnya hancur tidak berbentuk dan rohnya terbang ke mana-mana. Hantu ini telah menyerupai penyair lalu hadir ke sebuah hotel untuk menerima hadiah. Namun tidak semua penyair menyerupai hantu. Perjuangan mereka dalam dunia sastera ini ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang sanjungan murahan, tidak seperti hantu yang menyerupai penyair itu setelah hantu itu memilih untuk menyusup masuk semangatnya ke dalam batang jasad seorang manusia semata-mata untuk merealisasikan cita-citanya hendak menjadi penyair.
Cerpen Gunting yang menjuduli kumpulan ini, memberi amaran bahawa “Gunting yang kukirimkan itu sebenarnya isyarat supaya kautunaikan segala janji terhadap sekalian bawahan. tetapi, kau kelihatannya tetap asyik membesarkan tembolokmu sendiri.” Makanya, seseorang yang tidak pernah menunaikan janjinya, lidahnya perlulah dipotong dengan sebilah gunting. Jadi jangan persoalkan kepada siapa gunting itu akan diberi dan siapa pula yang akan ditugaskan untuk memotong lidah itu? Sebaliknya, jika tidak pernah hendak menunai janji, jangan suka menabur janji. Janji hanya untuk orang yang tahu menunaikannya.

Menerusi kumpulan cerpen Gunting ini, Marsli N.O memberitahu bahawa cerpen yang dihasilkan bukan sahaja hasil cetusan kreativiti dan imaginasinya semata, bahkan cerita itu boleh saja hidup dalam dunia realiti mahupun cerpen itu terhasil daripada subjek realiti lalu diterjemahkan dalam bentuk fiksyen. Di tangan Marsli N.O, sesuatu kenyataan yang benar tidak harus diselindungkan dengan memakai topeng kepura-puraan semata untuk meraih pujian dan sanjungan. Kebenaran yang jelas lagi terang harus didedahkan dan dipertontonkan kepada khalayak agar perbuatan menconteng kebiadapan terhadap keikhlasan dan kesucian dalam berkarya tidak terlepas bebas sewenang-wenangnya. Prakata dalam kumpulan cerpen ini, Marsli N.O telah menyatakan secara terang-terangan bahawa, penulis rindukan kebenaran. Betapapun relatif dan subjektif.


Sumber