Jumat, 17 April 2020

SUMPAHAN ULAT TANAH

Hampir seminggu Tuan Peladang duduk termenung SUMPAHAN ULAT TANAH









Hampir seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan tanaman diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat air simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia khuatir jika keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan dia mati kehausan.

Seekor lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira kerana tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun demikian, kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu menyebabkan rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini sukar bagi Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.
Pada suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan Peladang. Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk mengubat kesedihan Tuan Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah keluar meninggalkan kandangnya. Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber air. Setelah jauh berjalan, Sang Lembu terjumpa dengan sebuah perigi. Sang Lembu berfikir, tentulah perigi itu mempunyai air tetapi sungguh malang nasibnya kerana tiada air di dalam perigi tersebut. Sang Lembu berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu sambil mengenangkan nasib yang bakal manimpa dirinya.
Sewaktu Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara memanggilnya.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.
“Aku, ulat tanah di dalam perigi buta ini.”
“Buat apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.
“Ini rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”
“Tapi bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.
“Aku akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah berjanji denganku terlebih dahulu.”

“Cakaplah saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”
“Aku tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku boleh tolong mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak percaya dengan ulat tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah mentertawakan aku pula,” marah ulat tanah.
“Aku minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”
“Sebenarnya tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan mengeluarkan air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku boleh berikan perigi ini kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai ganjaran kamu hendaklah menyuruh Tuan Peladang menanam tanam-tanaman seperti sayur-sayuran di sekitar perigi ini. Aku dan kawan-kawanku akan berpindah dari perigi ini tetapi tidak jauh dari kawasan ini juga.”
“Terima kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti menanam tanaman di kawasan perigi ini?”
“Itu sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan tidak memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan menyuruh Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”
“Baiklah. Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”
“Ah! Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”
Sang Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih duduk termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi itu kepada Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa berlengah-lengah lagi Tuan Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi yang dikatakan oleh Sang Lembu.
Tuan Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian, mata air mulai muncul di permukaan tanah.
Hati Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan Peladang menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya. Walaupun begitu Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan agar Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan Peladang pula tidak banyak soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu untuk menanam tanam-tanaman di kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi baginya mendapat bekalan air.
Beberapa bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan Peladang berasa sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga menperolehi pendapatan daripada hasil menjual air. Semakin bertambah lumayan pendapatan Tuan Peladang.
Pada suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik sayur-sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila mendapati sayur-sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh Sang Lembu memakan dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu tidak mengaku bersalah. Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang Sang Lembu sekuat-kuat hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan terpaksalah dia berterus-terang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan Peladang rasa tertipu.
Tuan Peladang tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan air. Tuan Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan tanah digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan sekelompok ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil racun lalu disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat tanah yang menjadi korban.
Seekor ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang tidak berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk membalas dendam. Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang Lembu di kawasannya lagi. Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan kemarahan yang amat sangat.
Tiba-tiba air perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang terkulai layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak itu. Dia berasa sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang Lembu pun turut bersedih mengenangkan bencana yang bakal diterimanya nanti. Dari satu arah Sang Lembu terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata sesuatu.
“Tidak semua orang itu boleh dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari berdampingan dengan orang yang tak tahu mengenang budi.”
Kini Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan kerana memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di kawasan itu.


Pengajaran :


1. Sudah terhantuk baru terngadah.

2. Janji mesti ditepati.

Adaptasi daripada Dewan Pelajar. Julai 1989.