Sabtu, 18 April 2020

Radio Hidup Dengan Sendirinya

 


Nama saya Aza. Saya tinggal di kawasan Punggol. Tiga tahun lepas saya baru berpindah ke rumah baru. Ceritanya begini. Saya tinggal dengan anak saya yang baru berusia setahun, dan seorang pembantu rumah yang tidur di bilik berasingan. Pertama kali kami diganggu, adalah minggu pertama kami duduk di rumah baru kami. Malam itu, suami saya bekerja syif malam. Tinggal saya dengan anak perempuan saya yang berusia setahun tidur di bilik utama kami, dan pembantu kami tidur di bilik sebelah. Pada waktu tu sekitar pukul 3 pagi, anak saya mula menangis. Macam biasalah, saya fikirkan bahawa dia mahukan susu dan sekaligus saya akan tukarkan lampin pakai-buangnya.




Selalunya, saya akan bangun dan keluar pergi ke dapur untuk membuatkan susu untuk anak saya itu. Tapi malam itu, anehnya, saya tergerak hati untuk menelefon pembantu rumah saya untuk membuatkan susu untuk anak saya, sementara saya akan tukarkan lampin pakai-buangnya. Dia pun mengangkat dan saya menyuruh dia buatkan susu. Dalam seminit selepas itu, pembantu saya masuk ke bilik saya, memberikan saya botol susu anak saya, sementara menanyakan saya, “Kak Ngah (panggilan nama saya dalam keluarga suami saya) tadi terlupa tutup radio di luar ya?” Saya terfikir sejenak. “Sejak bila aku dengar radio di ruang tamu pulak?”, terdetik hati saya. Setahu saya, selalunya sejurus sahaja anak saya tidur, saya akan menyusul masuk tidur selepas mandi dan solat Isyak. Tak pernah pula saya nak dengar radio.

Radio, atau lebih tepat lagi, sistem bunyian di ruang tamu saya mempunyai satu fungsi bernama “blueray soundbar” yang saya letak di atas dinding, bawah tv. Saya perlu tekan butang "touchscreen" pada panel sistem itu untuk hidup / matikan sistem itu atau menaikkan / menurunkan tahap suara. Alat pengawal jauh pula tersemat di dalam bekas yang saya gantung di lengan sofa sebelah kanan. Pendek kata, tak mungkin sesiapa boleh tertekan alat pengawal jauh itu dengan sendirinya. Selamatlah saya suruh pembantu buatkan susu, kalau tak, saya yang lemah semangat ni mesti cuak gila sey!

Selepas pembantu saya memberitahu saya yang radio luar tu bersuara, saya lekas2 suruh dia keluar balik dan mematikan radio itu. Nasib baik pembantu rumah saya yang saya panggil “Bibik” itu tidak takut orangnya dan kuat mengaji di rumah saya itu. Dia pun keluar untuk mematikan radio itu. Selepas itu saya tak boleh tidur! Saya telefon suami saya dan memberitahunya tentang hal itu. Suami pula cuba menenangkan hati saya dan berkata, mungkin sistem bunyian itu rosak. Saya pun membaca Ayatul Kursi, Ayat Tiga Qul dan hidupkan surah “Al-Baqarah” di alat pemutar ayat-ayat suci Al-Qur'an dan saya tidur bersama anak saya.

Keesokan malam, suami tak bekerja. Seperti semalamnya, anak saya menangis sekitar pukul 3 pagi kerana dia hendak susu. Suami keluar pergi dapur untuk menyiapkan susu. Tak sampai beberapa saat, dia pulang masuk ke bilik semula, dan berbisik, “Dee, radio bunyi lagi...” Meremang bulu roma saya. Dia terus keluar dan mengetuk bilik pembantu rumah saya. Selepas dia kembali memberi botol susu kepada anak saya, kami menyuruh Bibik duduk menemani anak kami sementara kami keluar untuk periksa keadaan. Apabila kami hendak keluar bilik menyusul lorong ke ruang tamu, suara radio kedengaran makin membesar!!! Kami memang rasa amat takut!!! Lagipun sebab beberapa hari sebelum kejadian ini, pintu utama rumah kami pernah diketuk tapi apabila saya buka, tiada orang!!!

Waktu itu, suami kerje syif petang, dan kejadian terjadi sekitar pukul 11 malam. Saya buka sebab memang menunggu suami pulang ke rumah pada waktu itu. Bila telefon suami, dia baru turun MRT di stesen Punggol. Saya dah naik takut jugalah. Apabila suami hendak masuk ke rumah, dia terhenti di luar koridor kami. Dia memanggil saya untuk keluar jumpanya. Apa yang kami lihat bertentangan bangunan rumah kami adalah tempat letak kereta bertingkat. Di tingkat empat bangunan itu, kami lihat lembaga hitam sedang tegap berdiri di atas bumbung. Lama juga kami perhatikan, sebelum membaca Ayatul Kursi, ayat Tiga Qul, dan pulang masuk ke rumah kami. Kami akur, mungkin daerah rumah baru tentulah ada makhluk2 yang menghuni sebelum orang2 masuk berpindah. Kami buat seperti biasa sahaja. Malam tu pula anak kami tidak boleh tidur betul, tapi kami sangkakan perut kembung.

Kembali kepada kisah awalnya. Kami matikan radio dan mencabut "plug" utama. Suami mengambil keputusan untuk menghantar balik sistem bunyian itu. Dia beri alasan, fungsi radio tak boleh tukar ke fungsi lain. Entah apa dia kelentong dengan orang kedai, akhirnya dia dapat tukar kepada yang baru. Susah juga, sebab kedai tak dapat jumpa sebarang kerosakan pun. Semenjak malam itu kami akan pastikan bahawa suis utama akan dimatikan jika kami tidak menggunakan sistem bunyian itu.


Read more: